Isnin, Januari 12

AMALAN-AMALAN KHURAFAT JEMAAH HAJI ASIA

AMALAN-AMALAN KHURAFAT DAN SIFAT-SIFAT

TERCELA DI KALANGAN JEMAAH HAJI ASIA

TENGGARA DAN PANDUAN MENGHINDARINYA

Oleh : Y.Bhg. Dato’ Dr. Haron Din

 

Mengunjungi Baitullah untuk menyempurnakan pekerjaan haji menjadi suatu cita-cita murni

yang sepatutnya wujud pada tiap-tiap diri umat Islam. Pada kelazimannya orang yang belum

lagi hendak melaksanakan kewajipan tersebut, mereka tidak sangat bersedia dengan ilmu

pengetahuan sebagai bekalan untuk ibadat tersebut. Apabila hampir dengan waktunya barulah

secara bergopoh-gapah mempelajarinya mengikut kemampuan yang ada padanya.

Banyak umat Islam yang kurang bersedia dari segi ilmu pengetahuan untuk mengerjakan haji,

malah ada yang tidak memahami walaupun perkara-perkara yang asas, akibatnya apabila

mereka mengerjakan ibadat tersebut, terjadilah perlanggaran hukum yang boleh mencacatkan

kesempurnaan ibadat tersebut. Hal ini berlaku kerana mereka terikut-ikut dengan perbuatan

jemaah yang kurang arif tentang ibadat itu dan malu hendak bertanya kepada orang lain.

Di samping tidak mendalami hukum hakam mengenai haji, ditambah pula dengan kejahilan

hukum-hukum mengenai akidah, maka berlakulah campur aduk di dalam ibadat haji di antara

yang hak dengan yang batil. Kadang-kadang yang hak ditinggalkan dan yang batil dikerjakan.

Yang batil seperti amalan-amalan khurafat dikerjakan sebaik-baiknya, atas kefahaman bahawa

amalan-amalan itu dituntut oleh syarak, sedangkan yang sebenarnya sebaliknya.

Sering berlaku dari semasa ke semasa perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan hukum

syarak yang dicampurkan di dalam ibadat haji, terutama khurafat-khurafat yang diada-adakan

oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Mereka memberi fatwa secara berbisik-bisik

tanpa menggunakan sebarang kitab atau kenyataan-kenyataan dari nas-nas yang muktabar

tentang perkara yang dibisik-bisikkan itu. Akhirnya amalan-amalan khurafat itu menjadi ikutan

turun temurun dari dahulu hinggalah sekarang. Oleh yang demikian, maka diajarlah kita

membicarakan perihal khurafat tersebut.

 

PENGERTIAN KHURAFAT

Khurafat adalah perkataan Arab yang di asaskan dari akar kata:

Dalam kamus al-Marbawi khurafat itu diberi makna cerita karut atau karut marut.

Di dalam al-Munjid disebut:

Al-khurafat juga disebut sebagai percakapan yang tidak betul sama sekali.

Istilah khurafat telah diterima pakai di dalam masyarakat Melayu dan pada umumnya diketahui

maksudnya kerana ianya semacam menjadi bahasa Melayu. Khurafat maksudnya kepercayaan

karut yang direka-reka dan diadakan untuk membentuk suatu keyakinan tentang akan

berlakunya baik atau buruk terhadap sesuatu kerja berpandukan kepada perbuatan dan

kejadian-kejadian alam yang berlaku dengan mentafsirkan kejadian itu akan membawa bala

bencana atau membawa tuah keberuntungan.

Di dalam kitab Addarul Nadid, halaman 179 ada disebut:

Yang bermaksud:

“Adapun apa yang diiktiqadkan oleh manusia dari dahulu hingga sekarang tentang adanya bagi

seekor burung atau ada hari-hari atau bulan-bulan yang boleh memberi kesan pada

kebahagiaan atau kecelakaan manusia. Semuanya itu adalah khurafat. Islam membatalkannya

kerana jelas bertentanagn dengan tauhid”.

 

KHURAFAT SEBAGAI BUDAYA JAHILIAH

Masyarakat jahiliah adalah sebuah masyarakat yang banyak menghayati budaya khurafat. Di

antara khurafat mereka, mereka mempercayai kepada arah burung yang berterbangan

memberi kesan kepada nasib mereka. Orang-orang Arab jahiliah apabila hendak mengerjakan

sesuatu kerja atau sedang di perjalanan menuju sesuatu maksud tiba-tiba kedapatan burung

yang melintasi mereka, maka dikaitkan dengan suatu kepercayaan-kepercayaan tertentu.

Malah mereka meletak nama khusus pada keadaan burung yang melintasi mereka.

Yang melintasi dari arah kanan ke kiri dinamakan : As Sawaeh

Yang melintasi dari arah kiri ke kanan dinamakan : Al Bawareh

Yang datang kepada mereka dari arah hadapan dinamakan : An Nateh

Yang datang dari arah belakang ke hadapan dinamakan : Al Qaid

Dari nama-nama tersebut lahirlah tafsiran-tafsiran yang khusus, ada bala bencana akan

menimpa, ada tuah, ada keberuntungan yang akan berlaku dan sebagainya yang mereka

menggantungkan hal-hal tersebut sepenuhnya kepada keadaan burung tersebut.

Masyarakat jahiliah juga percaya jika burung hantu (al-Bumah) menghinggapi dan berbunyi di

atas sesuatu rumah maka ertinya salah seorang dari penghuni rumah itu akan meninggal dunia.

Kepercayaan sebegini mengakibatkan penghuni rumah akan bermurung durja, dukacita yang

tidak terkira kerana kematian yang akan menimpa.

Kepercayaan sedemikian terdapat juga di dalam masyarakat melayu di Tenggara Asia yang

terbawa-bawa dengan budaya jahiliah hingga sekarang ini. Padahal semua itu adalah khurafat

belaka.

 

KHURAFAT MENODAI IBADAT HAJI

Ibadat haji adalah suatu ibadat yang semestinya dilakukan dengan sempurna, tidak dicampur

dengan batil. Apatah lagi khurafat hendaklah dijauhi sama sekali. Khurafat boleh mencemar

ibadat haji dan menjadikannya ibadat yang sia-sia kerana perbuatan khurafat menjejaskan

akidah dan kadang-kadang merosakkannya. Perlu diingat bahawa khurafat boleh membawa

kepada syirik kerana ianya menyentuh persoalan iktikad. Jikalau sudah iktikad rosak kerana

khurafat, maka orang yang rosak akidahnya tidak akan mendapat apa-apa kebaikan dari

ibadatnya.

 

Namun demikian, masih terdapat bakal-bakal haji yang seolah-olahnya tidak menyedari bahawa

mereka melakukan perkara-perkara khurafat ketika hendak menunai haji dan ada pula yang

melakukannya ketika mereka di dalam ihram dan sedang bertungkus lumus mengerjakan haji

itu sendiri. Kepada golongan ini seboleh-bolehnya apa yang diajarkan kepada mereka oleh ToktokGuru yang mentadbir atau oleh pengkursus-pengkursus haji adalah tidak lengkap dan tidaksempurna. Mereka masih hendak menambah-nambah dan mengada-adakan berbagai-bagaiperbuatan yang tidak diajar oleh orang-orang tadi lalu mereka menerima pakai fatwa-fatwa dariorang yang tidak bertanggungjawab.

Khurafat bukan perkara kecil yang boleh dipermudah-mudahkan. Khurafat adalah perkara besar

yang mesti difahami dan diberi perhatian untuk menjauhinya. Umat Islam jangan mudah

menerima pakai sesuatu perbuatan yang disebutkan kepadanya bagi menambah-nambah

amalan di dalam haji yang dipelajarinya secara terbuka dan ada sandarannya, itulah yang patut

diamalkan. Adapun yang diajar secara sembunyi-sembunyi dan dilakukan secara sembunyisembunyipatutlah diambil perhatian dan dipastikan dahulu boleh tidak mengamalkannyabarulah diamalkan yang boleh dan menjauhi yang khurafat.

 

PANDANGAN ISLAM TERHADAP KHURAFAT

Di dalam al-Quran al-Karim terdapat beberapa ayat yang menyeru kepada pergantungan

dengan Alllah sepenuhnya dan menolak kepercayaan terhadap yang selain-lainnya bagi

mendapat kebaikan dan menolak keburukan. Yang memberi segala kenikmatan dan kebaikan

hanya Allah. Yang menolak segala kejahatan hanya Allah. Kepadanya seluruh makhluk

bergantung. Firman Allah, surah al-Zumar, ayat 38:

Yang bermaksud:

“Katakanlah apakah kamu tidak melihat kepada apa yang kamu memohon kepadanya selain

dari Allah bahawa jika sekiranya Allah menghendaki ke atasku sesuatu kemudaratan, adakah

mereka itu boleh menghindari dari kemudaratan itu atau jika Allah menghendaki sesuatu

rahmat itu dianugerahkan kepadaku, apakah mereka itu boleh menahan rahmat itu.

Katakanlah adalah memadai Allah itu bagiku untuk segala-galanya. Kepadanya bertawakal

semua orang yang bertawakal”.

 

Ayat di atas memperlihatkan konsep tawakal kepada Allah dalam semua keadaan. Kebaikan dan

kejahatan adalah dari Allah. Dia yang menyebabkan segala-galanya. Dia yang berkuasa atas

segala sesuatu, bukannya lintasan burung atau sebagainya yang terdapat dalam amalan-amalan

khurafat.

 

Yang bermaksud:

“Dari Abu Hurairah R.H. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “tidak ada jangkitan (yang

berlaku tanpa izin Allah), tidak ada buruk sangka pada sesuatu kejadian, tidak ada malang

pada burung hantu dan tidak ada bala pada bulan Safar (seperti yang dipercayai)”.

 

Yang bermaksud:

“Dari Ibnu Mas’ud R.H. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Buruk sangka (dalam amalan

khurafat) adalah syirik (dua kali) akan tetapi Allah menghapuskannya dengan bertawakkal

kepada Allah”.

 

Yang bermaksud:

“Dari Anas R.H. bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda: “Jangan ada buruk sangka

(kerana khurafat) dan alfa’lu adalah jauh lebih baik. Ditanya Rasulullah, apakah dia alfa’lu itu:

sebut-sebutan yang baik (baik sangka) yang boleh didengari oleh seseorang”.

Yang bermaksud:

“Dari Ibnu Umar R.H. katanya: Nabi SAW pernah bersabda: “sesiapa yang kerana buruk

sangkanya terhadap sesuatu (khurafatnya) sehingga boleh memesongkan diri menerusi

hajatnya, maka sesungguhnya ia telah syirik (kepada Allah). Mereka bertanya apakah kifarat

bagi yang demikian itu? Sabdanya: hendaklah ia berkata: Ya Allah, tidak ada kebaikan

melainkan kebaikanmu. Tidak ada yang buruk (jahat) melainkan kejahatan yang datang darimu

dan tiada tuhan yang berhak disembah melainkan engkau”.

Dari semua urutan ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW yang tersebut, jelas

memperlihatkan konsep baik buruk hanya dari Allah S.W.T. Allah yang mengatur segalagalanya,

bukannya ada kaitan dengan kejadian-kejadian yang berlaku di dalam hidup ini yang

boleh memberi kesan kepada kebahagiaan dan kecelakaan manusia.

Khurafat adalah karut marut yang tidak benar sama sekali. Tidak sepatutnya kepercayaankepercayaan

sedemikian menghantui umat Islam sehingga menghindarkan perjalanan hidup

mereka kerana kongkongan khurafat itu. Umat Islam perlu bersih niat dan pergantungan

mereka hanya kepada Allah SWT sahaja. Apabila kamu cekal bercita-cita, maka teruskan dan

bertawakkal kepada Allah.

 

KHURAFAT DI KALANGAN JEMAAH HAJI ASIA TENGGARA

Pengaruh khurafat ternyata masih kuat. Di dalam masyarakat Islam Asia Tenggara masih

kehadapan amalan-amalan khurafat di dalam berbagai-bagai lapangan kehidupan. Di dalam

perniagaan masih percaya kepada FONG SUAI. Dalam pertanian masih percaya kepada

semangat padi. Dalam mencari rezeki di lautan masih ada yang percaya kepada gamala ikan dan

berbagai-bagai lagi. Bukan sahaja di dalam mencari rezeki ada berbagai-bagai khurafat, ketika

hendak melakukan ibadat kepada Allah pun masih diresapi berbagai-bagai khurafat. Antara

yang ketara ialah khurafat-khurafat di dalam ibadat haji.

 

KHURAFAT DI TANAH AIR SENDIRI SEBELUM TIBA DI TANAH SUCI

a) Tidak boleh memijak bendul rumah. Kalau dipijak alamat tidak akan balik semula.

b) Sesudah bertolak dari rumah, tidak boleh memandang ke belakang melihat rumah.

Kalau dipandang, pekerjaan hajinya tidak sempurna kerana hatinya teringat-ingat ke

rumah

c) Membawa uri, rambut dan kuku bayi untuk ditanam di Tanah Haram supaya anak

tersebut menjadi orang ternama dan disukai ramai.

d) Setelah balik nanti mesri berkurung diri di rumah selama 40 hari yang disebut idah haji.

Barulah haji itu berkat dan melekat di hati, kalau melanggar, sia-sialah haji.

 

KHURAFAT DI TANAH SUCI

a) Mesti mencari tiang Jin di dalam Masjidil Haram. Peluk kuat-kuat boleh memanjangkan

umur.

b) Boleh mendapat toyol dengan bersembahyang sunat sebanyak-banyaknya secara

mengadap tiang tersebut untuk dibawa balik toyol itu sebagai khadam.

c) Jin yang dibawa balik dari Mekah adalah Jin yang baik kerana mereka adalah Islam.

d) Menampal duit syiling yang siap bergam di bawah pintu Baitullah dan dibawa balik

untuk dibuat ibu duit bagi tujuan melariskan perniagaan, mendapat jodoh dan

memurahkan rezeki.

e) Memungut anak-anak batu di Arafah untuk dibawa balik bagi tujuan, jika dicampak di

dalam perigi ikan, maka ikan akan menjadi banyak. Jika ditabur di kebun tanaman, maka

buah-buahan akan menjadi. Jika diletak di dalam kedai, maka akan laris.

f) Mencuri tali-tali khemah di Padang Arafah dan Mina untuk dijadikan tangkal bagi tujuan

pelarisan untuk jualan dan memperbanyakkan tangkapan ikan.

g) Membawa balik Tanah Arafah untuk upacara “Memijak Tanah” buat pertama kali bayi

untuk menghindarkannya dari sebarang penyakit dan gagah berani.

h) Tidak boleh melihat cermin semasa di dalam Ihram. Jika dilihat muka akan menjadi

hodoh dan orang tidak suka melihatnya.

i) Menyapu-nyapu tiang masjid dan diusap ke muka untuk menambah seri wajah.

j) Mengetuk-ngetuk pintu dan gelang kuncinya di kawasan Saei sebagai simbolik kepada

mengetuk pintu rezeki. Jika tidak membuatnya, rezeki akan tertutup selama-lamanya.

k) Bersetubuh dengan isteri di dalam Masjid al-Haram boleh mendapat anak yang mudah

masuk syurga.

l) Orang yang mandul boleh segera mendapat anak jika bersetubuh dengan suaminya di

dalam Masjid dua kali dari arah pancur emas sekali kerana kepercayaan pancur emas

itu melambangkan kemaluan Nabi Adam dan sekali lagi dari arah yang menghala ke

Hajar Aswad kerana Hajar al-Aswad melambangkan kemaluan Siti Hawa.

m) Kain ihram perlu dibawa balik dan diwasiatkan bila mati nanti hendaklah dikafan dengan

kain itu bagi menghindar diri dari siksa kubur.

n) Beli khusus kain putih yang hendak dijadikan kafan dan basuh dahulu dengan air zamzam

di Mekah, disimpan dan diwasiatkan untuk dijadikan kain kafan. Dengannya

Munkar dan Nakir tidak berani memukul badan yang dibalut dengan kain tersebut.

o) Kalau berlaku hujan, maka mandilah di bawah curahan air dari pancur emas agar

sembuh segala penyakit dan tidak akan terkena penyakit hawar.

p) Tiang-tiang masjid boleh dibeli untuk diwakafkan. Sekiranya ada orang yang

menawarkannya, maka jangan disoal banyak, beli sahaja akan menjaminkan masuk

syurga.

q) Mandi bertelanjang di telaga Ja’aranah boleh memikat suami dan cepat mendapat

jodoh bagi yang belum bersuami.

Dan berbagai-bagai khurafat lagi yang masih diamalkan oleh masyarakat Islam Asia Tenggara.

 

AMALAN KHURAFAT DAN KAITANNYA DENGAN HUKUM SYARAK

Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah ditegah oleh syarak

kerana di samping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga

menambahkan amalan-amalan bid’ah yang buruk sepertimana tersebut dalam hadith

Rasulullah SAW yang bermaksud:

“…………Setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat akan ditempatkan di dalam neraka”.

Mengamalkan amalan khurafat dengan tidak disedari boleh menjauhkan diri daripada Allah

SWT, walhal kedatangan jemaah haji ke Tanah Suci ialah untuk menghampirkan diri kepada

Allah serta menyuci diri dari segala dosa dengan tujuan mandapat haji mabrur.

 

PUNCA AMALAN-AMALAN TERCELA DAN TERPAUTNYA SESEORANG KEPADA AMALAN

KHURAFAT

Di antara punca-puncanya adalah seperti berikut:

Tidak mempunyai asas yang kukuh di dalam pengetahuan agama di mana mudah menerima

perkara-perkara yang dianggap menarik baginya.

Mempelajari dari guru-guru atau ketua-ketua yang tidak bertanggungjawab.

Terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain kerana menyangka amalan itu adalah amalan yang

betul.

Sudah terbiasa melayani nafsu ammarah.

 

CARA-CARA MENGHINDARINYA

Bakal-bakal haji hendaklah mengikuti dan mempelajari hukum-hukum agama sebelum

menunaikan haji. Penceramah-penceramah hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang benarbenar

berkelayakan. Tajuk siri khurafat perlu dimasukkan ke dalam kurikulum ibadat haji

dengan ditekankan keburukannya.

Jangan mudah terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain yang tidak diketahui puncanya.

Dalam kursus haji ditekankan bahawa Tanah Suci Mekah bukanlah tempat berehat atau tempat

melepaskan kemarahan atau komplen sewenang-wenangnya. Perlu ditekankan bahawa di

dalam pekerjaan haji mesti akan ditemui berbagai-bagai dugaan Allah yang perlu diterima

dengan sabar.

Sebarang amalan yang dipetuakan kepadanya oleh orang yang diragui keilmuannya hendaklah

dipastikan terlebih dahulu dari orang lain yang lebih berwibawa. Bertawakalah kepada Allah

dengan sebenar-benar takwa. Tunaikanlah haji semata-mata kerana Allah.

 

TINGKAH LAKU BURUK SEBAHAGIAN JEMAAH HAJI

Selain dari khurafat yang tersebut di atas, ditambah pula dengan adanya tingkah laku buruk

yang sering kedapatan di kalangan jemaah haji umumnya termasuk jemaah haji Asia Tenggara,

menjadikan ibadat haji ibadat yang seolah-olahnya tanpa roh dan tanpa hikmah.

Sebagai contoh yang ketara, berlakunya peristiwa terowong al-Muassim pada tahun 1990 dan

peristiwa pijak memijak di atas Jambatan Mina pada tahun 1994 yang semuanya memakan

korban nyawa yang begitu banyak, mencerminkan masalah utamanya tingkah laku buruk

jemaah haji.

Tingkah laku dan tuturkata manusia itu adalah sebagai cermin peribadinya. Jika elok tingkah

laku, berbudi bahasa dan manis kata-kata, maka tinggilah nilai dirinya, mulialah pekertinya.

Kalaulah itu benar-benar menjadi cermin diri, maka alangkah buruknya keadaan umat Islam ini

kerana apa yang berlaku di musim haji menjadi ukuran yang utama pada nilai diri kita.

 

Di Mekah umat Islam kelihatan seperti seolah-olah tidak tahu disiplin diri dan disiplin

kehidupan. Ada yang tidak bertolak ansur, bertengkar, bergaduh, tengking menengking, herdik

mengherdik, menolak, melanggar, memukul, memijak, menghimpit, mengambil hak orang lain,

menyusahkan kawan, memijak kepala, menyepak muka orang yang beribadah, mengganggu

yang bersembahyang, menyepak al-Quran, meletak al-Quran di atas lantai, mengubah

(mengalih) al-Quran dengan kaki, berebut-rebut dengan segala kekuatan untuk mencium batu

hitam (al-Hajarul Aswad). Memegang tangan berangkai kuat untuk merempuh orang yang

sedang solat dan tawaf. Perbuatan yang sama berlaku dengan dasyatnya ketika di Mina untuk

melontar. Segala selipar dan kasut serta pakaian tertanggal dari badan. Yang sakit tidak diberi

simpati. Yang tua uzur tidak dihirau dan pelbagai perangai lagi yang boleh dilihat.

Mengenai tutur kata, umat Islam tidak hendak menjaga tutur katanya. Walaupun ketika sedang

tawaf dan saei, masih bercakap-cakap dengan hal-hal yang terkeluar dari erti ibadah yang

sebenar, bergelak ketawa berdekah-dekah kerana kelucuan yang sengaja diada-adakan dalam

perbualan-perbualan, seolah-olah mereka bukan di hadapan Allah di dalam ibadat yang shahdu.

Kata mengata, caci mencaci sering kedengaran di sepanjang masa berada di Mekah dan

Madinah seolah-olah tidak berbeza dari tempat-tempat lain. Mengumpat, mencerca terus

berlaku tanpa sebarang takut kepada dosa yang perbuatan di Tanah Haram.

Semua tingkah laku buruk itu adalah sebahagian dari masalah yang sebenar yang berlaku di

kalangan jemaah haji kita yang sudah sewajibnya kita menyedari perihal tersebut dan cuba

menghindarnya.

 

BAGAIMANA MENGATASI PERMASALAHAN TERSEBUT

Masalah akhlak adalah masalah pokok untuk membina masyarakat yang mulia. Akhlak yang

terpuji menjadi tunjang kekuatan umat. Rasulullah SAW diutuskan Allah adalah untuk

menyempurnakan akhlak yang mulia. Baginda menjadi teladan untuk kemuliaan akhlak,

mengasuh umatnya agar berakhlak mulia.

Bagi mengatasi masalah yang disebutkan tadi, pendidikan kerohanian yang menekankan

kepada kemuliaan akhlak perlu dititik beratkan dalam latihan dan syarahan-syarahan. Bakalbakal

haji hendaklah dipupuk dengan budi pekerti yang mulia untuk dihayati sepanjang masa

hidupnya, lebih-lebih lagi ketika menunaikan haji. Rasulullah SAW pernah bersabda:

 

Yang bermaksud:

“Barang siapa yang ingin sangat hendak menjadi manusia yang terkuat, maka bertawakkallah

kepada Allah. Barang siapa yang ingin sangat hendak menjadi manusia yang terkaya, maka

hendaklah meyakini bahawa apa yang ada di sisi Allah Azawajallla lebih baik dari apa yang ada

di dalam tangannya. Dan siapa yang ingin sangat menjadi manusia yang termulia, maka

hendaklah takut kepada Allah Azawajallla”.

Hadith ini mengingatkan kita tentang berakhlak dengan Allah. Bertawakkal kepada Allah, takut

kepada Allah. Apabila manusia sudah mentaati perintah Allah dan amat mengharapkan

keredaan, maka akan lahirlah budi pekerti yang mulia untuk mereka di alam manusia.

Mengunjungi Baitullah untuk menunaikan ibadat haji adalah suatu tuntutan syarak. Dari ibadat

itu akan lahirlah pengajaran-pengajaran yang amat berguna untuk manusia. Fadhilat haji

amatlah banyak. Salah satunya untuk mengingati Allah. Oleh itu, perbanyakkan takbir dan

tahmid kepada Allah, berzikir kepada Allah di dalam masa kerja haji dan sesudahnya khususnya

di Arafah dan Mina.

Salah satu rahisa Allah mewajibkan haji ialah untuk membersihkan diri mereka dari segala dosa,

dari segala perangai keji dan perbuatan-perbuatan munkar. Kalaulah umat Islam memahami

dan menghayati tujuan tersebut dengan sebaik-baiknya, maka tentulah tidak akan berlaku

pekara-perkara munkar di tanah suci.

Semua orang yang menunaikan haji akan menjadi orang yang amat baik pekertinya. Tidak ada

khurafat berlaku dan tidak ada perkara-perkara negetif berlaku kerana semuanya itu akan

menyebabkan haji seseorang itu sia-sia. Rasulullah SAW pernah bersabda:

 

Yang bermaksud:

“sesiapa yang mengerjakan haji dan tidak melakukan perkara-perkara jahat dan fasik, maka

kembalinya ke tanah airnya nanti ia menjadi seperti anak yang baru lahir”.

PENUTUP

Usaha untuk mempertingkatkan kualiti ilmu ke dalam masyarakat Islam perlu diteruskan

dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi perisai umat Islam dari diresapi gejala-gejala tidak

sihat seperti khurafat dan sebagainya.

Pengetahuan tentang ibadat haji adalah pengetahuan fardu ain yang sepatutnya diketahui oleh

masyarakat umum. Perlu diajar dengan cara yang berkesan di dalam kurikulum-kurikulum

sekolah menengah dan di peringkat universiti agar dengan ilmu yang manfaat itu setiap yang

pergi menunai haji benar-benar mengetahui mengapa ibadat itu diwajibkan.

Ibadat-ibadat dalam Islam adalah alat untuk mendidik manusia. Jika dipergunakan ibadat itu

sebagai alat mengajar, maka yang mempelajari bersungguh-sungguh daripadanya akan

mendapat pengajaran yang amat berkesan. Rasulullah SAW telahpun mempergunakan untuk

mendidik umat Islam di zamannya. Dengannya mereka menjadi sebaik-baik umat yang Allah

ciptakan untuk menjadi contoh kepada manusia. Akhlak yang terpuji akan lahir dari keikhlasan

beribadat kepada Allah, apabila difahami maksud dan tujuannya. Dari akhlak yang terpuji

lahirlah peribadi unggul untuk memimpin manusia ke jalan yang diredhai Allah.

Semoga Allah memelihara kita dari terjatuh ke dalam khurafat dan semoga Allah memberi

hidayah kepada kita untuk mencontohi akhlak mulia Rasulullah SAW.

Wallahu ‘Alam.

 

dipetik dari www.darussyifa.org

Tiada ulasan:

HARAM MAKKAH

HARAM MAKKAH
Ribuan manusian tagih rahman dan rahimNYA

MASA TERUS MENINGGALKAN KITA SEPANTAS KILAT DAN SETAJAM PEDANG

TAQWIM

Arkib Blog

Mengenai Saya

Foto saya
Port Klang, Selangor, Malaysia
Hidup biarlah sederhana dan berpada-pada